Tuesday 27 January 2015

Langgam Bakungtai

Bismillah.

Dua hari berkurung dalam rumah. Demam dan selsema yang hadir sangat tiba-tiba. Masuk sahaja ke pejabat, penghawa dingin menjadi senjata yang begitu menyeksakan rongga hidung. Musim peperiksaan(UPS) yang sedang berlansung, memberikan sedikit ruang untuk berehat. Mahu keluar dan membantu pelajar, namun diri penuh dengan bendalir yang diluar kawalan. Meletus bila-bila masa sahaja. Hebat ibrah Tuhan. Jasad yang kononnya rasa dimiliki, tidak mampu dikawal oleh diri.

Masa yang ada di isi dengan membaca kembali. Dua buku berjaya dihadam, insyaAllah akan dikongsikan dalam masa terdekat. Dalam masa yang sama, jejari menulis sesuatu. Isinya lebih tersirat. Ada perkara perlu disembunyikan. Namun ada perkara mahu diingati, maka aku letakkan di sini.

LANGGAM BAKUNGTAI

Mimpi
Mainan tidur ketika mati
Acapkali tersusun seperti realiti
Ada masanya ia lucu
Ada masanya tersangat ngeri
Pernah hadir menjadi hiburan
Kerap muncul sebagai ancaman
Mencoret Dejavu di siang hari
Pawagam akal di alam sunyi

Hiatus puisi
Kerna hati lari dari cinta
Noktah dari fikiran setia
Apatah lagi untuk mengingati si dia
Lama benar mimpi menjadi mainan
Tiada satu yang ku bawa ke dunia nyata..

Tiga daun bunga
Menerjah harumannya dalam mimpi
Sepuluh yang kurang dua
Tiba-tiba menjadi satu
Ancaman dalam mainan
Barangkali petanda dari Tuhan
Titipan usaha mencangkul alam realiti

Bakung kami punya cerita unik
Pendamaian bertukar perang
Romantis menjadi sinis
Pengorbanan tafsiran tipu helah
Tiada yang menang
Belum ada yang kalah
Tinggal doa si lebah
Kukuh sebagai benteng..

Bunga itu berbisa dihadapanku
Namun tangkainya begitu lembut
Mimpi yang menyeru petikan
Sedang aku khuatir pada bisanya
Mati subur tiada petunjuk
Sedangkan lama hati memujuk
Biarlah dahulu..

Aku pasti kamu membaca
Cuma khuatir kamu memahami
Berikan aku tanda kembali
Kerna aku sudah mengerti
Hanya tercicir nilai berani..


Haha. Faham ke?
Sekian dari Syuib0809

1 comment: