Monday 18 May 2015

Ibrah Buat Husna

Bismillah.

Sudah lama sebenarnya menulis post ni. Sebelum tamat kisah Studentku Si Pemalu lagi. Ibrah khas buat seorang student yang sangat bijak. Aku, rakan dan anak buah tak berjaya menyalurkan dia ke usrah yang bersistem. Pernah pada awal semester pertama, aku setupkan usrah untuk dia dan rakan-rakan, namun ter"gantung". Maka, nasihat ini untuk beliau dan semua anak pelajar yang membaca blog ini. Penulisannya sedikit serius... Mudah-mudahan beroleh sesuatu.


Ibrah buat Husna.


Wahai anakku Husna,

Dunia Islam sentiasa berhadapan dengan persoalan-persoalan baru, yang memerlukan ummah untuk terus-menerus berfikir. Kerana itu, Khalifah Umar sentiasa bersama para Sahabat yang alim, bersyura di Madinah tentang perkara-perkara baru yang muncul tatkala Islam membebaskan Rom dan juga Parsi. Mereka berfikir, sedangkan wahyu sudah pun terputus. Dan kini ummah semakin tenat, kerana buat pertama kalinya mereka tidak lagi dijaga oleh seorang khalifah. Lebih menyedihkan, para pemuda tidak lagi berminat dengan sistem pemerintahan Islam. Mereka berkata "owh, ini bukan urusan kami..". "owh, belum tiba masanya untuk kami ambil tahu..", "eh, malas untuk aku masuk campur. Banyak lagi perkara yang aku perlu fikir..." walhal mereka sebenarnya tidak lansung memikirkan apa-apa.

Oleh itu, jangan kamu mengambil mudah persoalan baru yang datang kepadamu. Aku risau, yang kamu tutur selama ini bukanlah sebuah jawapan, tetapi hanyalah satu alasan. Hingga akhirnya kamu berhenti berfikir. Persoalan kecil yang kuberikan kepadamu kerapkali disambut "acuh tak acuh" oleh masyarakat. Mereka alpa, tidak memikirkannya sudah menjemput seribu satu masalah pada generasi muda Islam hari ini. Tatkala dirimu sedang berehat, aku titipkan persoalan baru melaluimu. Tanyakanlah ia pada insan lain. Aku sangat pasti, yang akan kamu perolehi bukanlah jawapan, tetapi sebuah lagi alasan.

"Sesungguhnya Allah membangkitkan untuk umat ini pada setiap awal 100 tahun orang yang memperbarui/memperbaiki untuk mereka agama mereka.(Shahih). Abu Dawud


Kepada anakku Husna.

Menjadi muda, adalah masalah aku dan kamu. Kerana tika ini, kita semua tidak fasih berfikir panjang. Masalah yang ada, cuba diselesaikan dalam satu malam. Hingga anak muda selalu ditegur "melulu" oleh orang-orang tua. Bersabarlah. Tidakkah kamu membaca mengenai wahyu yang tertahan memberikan jawapan mengenai Aisyah? Tidakkah kamu mendengar bagaimana Surah Alkahfi dilewatkan penurunannya hanya kerana tertinggalnya ucapan "InshaAllah"? Sedangkan tiada apa yang mampu menghalang Tuhanmu dari menyampaikannya. Namun, itulah latihan "masa" yang Allah berikan kepada hambanya. Agar manusia bersabar, kerana  sesungguhnya sabar itu sangat hampir dengan takwa.

And never say of anything, "Indeed, I will do that tomorrow,"(23) Except [when adding], "If Allah wills." And remember your Lord when you forget [it] and say, "Perhaps my Lord will guide me to what is nearer than this to right conduct."(24).      AlKahfi: Ayat 23-24

Kerana itu, ambillah masamu. Fikirlah sebaik-baiknya sebelum membuat sesuatu keputusan, ataupun ketika kamu lelah mencari sebuah jawapan. Persoalan-persoalan yang hadir selepas ini tidak lagi semudah soalan tutoran yang mampu kamu cari jawapannya dalam satu malam. Persoalan-persoalan hidup yang bakal merunsingkan dirimu, aku harap kamu tenang menghadapinya. Jangan mudah memberi atau menerima jawapan, sebelum kamu benar-benar memikirkannya. Lagu ini kutitipkan buat dirimu.




Wahai adikku Husna,

Aku selalu menyoal keimananku kepada Tuhan.  Adakah aku benar-benar percaya kepadaNya?Kerapkali aku cemburu kepada Fatimah. Baju pengantinnya hadiah dari Jibril, yang tiada satu pun manusia mampu membelinya. Percayanya Umar kepada Tuhan, hingga surat yang dinukilkan kepada Sungai Nil menyebabkan Nil berterusan mengalirkan air hingga ke hari ini. Tidak kagumkah kamu melihat Rabiatul Adawiyah? dirinya mampu menukar seorang pencuri menjadi Abid dengan izin Allah dalam satu malam sahaja. Hinggakan Hassan Basri sendiri begitu menyanjunginya. Pernahkah engkau melihat para syuhada'? senyuman melekat pada wajah-wajah mereka, sedangkan mereka sudahpun menjadi jenazah. Mereka semua beroleh keajaiban, kerana ajaibnya cinta mereka kepada Rabb. Percaya mereka, jauh dari percayanya kita kepada Tuhan.

Kepercayaan sebegitu mahu aku tunjukkan kepadamu, kerana aku dan kamu sentiasa tahu akan jawapan gadis itu. Malah semua manusia biasa sudah mampu mengagak jawapannya. Namun aku mahu kamu percaya, bahawa setiap apa yang berlaku adalah di bawah kehendak Allah. Percayalah, tatkala semua manusia sedang bercanggah denganmu, kamu masih ada Tuhan yang menentukan segala-galanya. Ke"ajaib"an yang kuharapkan dalam jodohku masih belum muncul. Kisahku yang panjang tidak mampu kuceritakan dalam ruang sekecil ini. Hanya ini yang dapat ku titipkan kepadamu. Berharaplah kepada Allah dengan harapan yang manusia sendiri akan mentertawakanmu. Kerana engkau akan percaya dengan sepenuh percaya, sedangkan mereka hanya percaya seperti permainan yang mereka sendiri tidak percaya.

"...percaya selepas melihat sesuatu itu tidak ada apa-apa nilai yang significant, tetapi yang hebat ialah percaya sebelum melihat sesuatu & kita bekerja untuk melihat apa yang kita percaya..."

"kekangan yang besar yang berlaku
dalam masyarakat kita untuk berjaya ialah pada soal kemampuan untuk percaya..."

"...syurga hanya menerima orang-orang yang hebat untuk menyertainya..."
 
Ustaz Hasrizal


Wahai Husna,

Carilah Ilmu. Jadikan buku dan majlis ilmu teman rapatmu. Kamu tidak akan dapat lihat perkara yang jauh lebih berharga, melainkan nilai secebis ilmu yang membaluti iman. Senyumlah kamu di hadapan manusia walaupun kamu sedang bersedih. Kerana masalah itu adalah ujian buatmu, yang hadiahnya akan kamu terima khas dari Tuhan. Buatlah orang di sekelilingmu tersenyum, kerana itulah sedekah yang sangat menggembirakan hatimu. Jenaka yang aku hadiahkan kepada kamu dan rakan-rakan adalah cerminan sebuah azam, walaupun aku sendiri kerap berada dalam kedukaan.

Mudah-mudahan Allah berikan yang terbaik buatmu.

.........

Blog ini sudah menghampiri usia 7 tahun. Dengan lebih 500 penulisan yang aku isikan buat pembaca. Pelawatnya sering berubah-ubah. Dimulakan dengan ahli keluarga yang dulunya jauh di tanah air. Kemudian rakan-rakan Leicester yang sebahagian kecilnya "berkecil hati" dengan penulisan di sini. Rakan-rakan sekolah menengah yang kemudiannya membaca dengan senyap, juga rakan sekolah rendah yang terlewat menjumpainya. Terkini, ia dibaca oleh anak-anak pelajar dan juga pensyarah yang kebanyakannya sebaya dengan aku. Aku tidak pernah malu untuk menulis, kerana hasil ini sebagai peringatan untuk diriku sendiri. Malah semua yang terjadi tidak menjemukan aku untuk menulis, sehinggalah pembaca sendiri yang jemu untuk mengikutinya.


Mula menulis review untuk tiga buah buku. InsyaAllah dalam masa terdekat akan dipost.

Sekian dari Syuib0809.


No comments:

Post a Comment